Thursday, 18 August 2011

Adat perkahwinan Masyarakat Orang Asli


a.      Perkahwinan melalui pertunangan

Perkahwinan cara ini dianggap sempurna tetapi ia melibatkan tatacara yang rumit. Ia bermula dengan merisik kemudian diikuti dengan meminang dan akhirnya majlis perkahwinan. Ia digambarkan melalui perbilangan berikut :-

            Orang berhenak betanda baik
            Orang bertanyak dengan suarak
            Orang bertunang bersarung cincin
            Orang bernikah berbayar ada

i.                    Merisik

Sekiranya lelaki dan perempuan menunjukkan minat di antara satu sama lain, si lelaki akan memberitahu keluarganya. Kemudian, ibu bapa lelaki tersebut akan mencari ibu bapa perempuan (atau waris kedim) untuk merisik gadis tersebut. Tujuan merisik adalah untuk menyiasat sama ada gadis yang dihajati itu sudah bersuami ataupun belum. Setelah yakin gadis tersebut belum dipunyai dan dia bersetuju menerima si lelaki, maka ibu bapa kedua-dua belah pihak berbincang untuk menetapkan tarikh pertunangan.

ii.                  Bertunang

Apabila sampai hari pertunangan, pihak lelaki akan menyediakan “barang ganda” atau hantaran. Di antara barang ganda yang perlu disediakan oleh pihak lelaki adalah barangan keperluan wanita dari hujung rambut hingga ke hujung kaki seperti sepit rambut, minyak rambut, sikat, alat solek (bedak, minyak wangi, pewarna kuku), pengetip kuku, cermin muka, benang, jarum, gunting, kain ela, kasut, duit dan banyak lagi. Pihak perempuan pula akan membalas dengan tikar dan bantal. Jika adik berkahwin dulu dari kakak (langkah bendul), si kakak berhak mendapatkan ‘hantaran' sebagaimana yang diterima oleh adiknya.

iii.                Pernikahan

Kal dibuat, janji dilaboh
Janji baru ditangguhkan
Janji lamak ditetapkan
Janji sampai digadohkan

Apabila sampai tarikh perkahwinan (pernikahan), ibu bapa akan mencari saudara mara, waris kedim sebelah mak. Kesemuanya dijemput dengan bujam penjemput dan bujam penerang. Perbilangannya berbunyi :-

      Cicir nak dipungit, hilang nak dicari
      Yang jauh nak dilaung, yang dekat nak dirapat
      Yang jauh nak mencari waris, yang dekat nak mencari pakat


iv.                Malam Berkhenak (berinai)

Pada malam berkhenak (berinai), ibu bapa perempuan akan menuntut Adat Nikah dari ibu bapa sebelah lelaki dengan disaksikan oleh Lembaga Adat. Pada malam itu juga, akan diadakan pemberian barang langkah bendul jika si adik berkahwin dahulu daripada kakaknya.
     
      Orang bersalin berbayar bidan
      Orang matik berbayar sedekah
      Orang bertunang berasrung cincin
      Orang nikah berbayar adat


Adat nikah yang telah ditetapkan oleh Lembaga Adat ialah :-

·         Sirih Sebujam (mengandungi daun sirih, pinang, kapur, gambir, daun rokok, tembakau, mancis atau pemetik api) – Adat 20
·         Duit RM14 (anak buah pusako), RM7.30 (anak buah biasa)
·         Kain putih panjang 10 (10 kaki atau tiga meter)


vii.              Adat Menyalang (Sambut Menantu)

Selang seminggu dari hari pernikahan, pasangan suami isteri bersama kaum keluarga pengantin perempuan akan pergi ke rumah atau kampung suami. Biasanya akan diadakan majlis makan secara kecil-kecilan bagi memperkenalkan si isteri kepada saudara mara sebelah pengantin lelaki.


b.      Nikah Tangkap Basah ( atau Aduk-Asah)

Cara pernikahan tangkap basah pada asalnya dikenali sebagai 'Nikah Aduk Basah'. Aduk bermaksud memberitahu, seperti yang terdapat di dalam perbilangan adat, “tangkap tamat, aduk asah kepada tuhak-tuhak”.

No comments:

Post a Comment